Setelah Nabi
Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi
Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah S.W.T
menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu.
Ada dua riwayat
yang mengatakan bahwa Allah S.W.T meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina
oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan
sewaktu taufan besar melanda.
Satu riwayat lagi mengatakan bahwa tapak
Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya
binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka
sesungguhnya tidak ada orang lain yang mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi
Ibrahim dan anaknya.
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan
Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip
batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah S.W.T yang bermaksud, "Dan
(ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan
binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai
Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat
mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).
Apabila
binaan sudah meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan batu besar yang cukup tinggi
dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap
pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah S.W.T sebaik saja Nabi Ibrahim
meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim
sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini dekat Baitullah. Dan ini
adalah suatu tanda kebesaran Allah S.W.T.
Apabila agama
Islam datang, Allah S.W.T mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang maqam
Ibrahim sepertimana firman Allah yang bermaksud, "Dan jadikanlah oleh kamu maqam
Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).
Yang
dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan
bukan kubur Nabi Ibrahim.
Setelah selesai
pembinaan Baitullah, maka Allah S.W.T memerintahkan Nabi Ibrahim memberi
kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah. Firman Allah S.W.T
yang bermaksud, "Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya
mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan
berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk
rantau) yang jauh." (surah al-Haj ayat 27).
Setelah itu Nabi Ibrahim
naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan baitullah
dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah, "Wahai sekalian manusia,
sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu
hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana."
Nabi Ibrahim
menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan. Allah S.W.T
menyampaika seruan Nabi Ibrahim a.s pada setiap orang yang diciptakan dalam
bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua orang yang mengerjakan fardhu haji,
kerana haji itu tidak akan sah tanpa talbiah.
Bacaan talbiah antara
lainnya, "Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, aku datang untuk menunaikan
panggilan-Mu ya Allah.
Menunaikan haji
adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya apabila
kita sudah mampu melaksanakannya. Banyak orang menunaikan haji, tetapi sekembali
mereka dari menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang
yang melakukan maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu,
hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan
haji.
Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu
maka sia-sia saja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah
S.W.T. Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji
melakukan bermacam-macam maksiat.
Bagi mereka yang
mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang
dimurkai oleh Allah S.W.T sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim
yang sempurna. Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang
berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima
oleh Allah S.W.T.
sumber : File
1001 KisahTeladan